Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksCN Remarks

UCAPAN PENGHARGAAN SEMPENA PENGURNIAAN BINTANG KEBESARAN “DARJAH PAHLAWAN NEGARA BRUNEI YANG AMAT PERKASA DARJAH PERTAMA”

LAKSAMANA PERTAMA DATO SERI PAHLAWAN HAJI OTHMAN BIN HAJI SUHAILI @ SUHAILY

PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI

Alhamdulillahi Rabbil Alamin Wassalatu Wassalamu 'Ala Saidina Muhammad Wa 'Ala Aalihi Wasahbihi Aj-Ma'in.

Alhamdulillah bersyukur ke Hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana atas limpah kurnia dan rahmat Nya jua telah memberi peluang kepada kita untuk sama-sama menjalani nikmat umur yang panjang lagi berkat sehingga ke hari ini. Selawat dan salam keatas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wassalam, Kaum kerabat, serta sahabat baginda yang jujur lagi setia hingga ke akhir zaman.

Pertama sekali marilah kita sama-sama meneguhkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah Ibni Al Marhum Sultan Haji Omar' Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Dikesempatan ini, saya mewakili seluruh warga Tentera Laut Diraja Brunei dengan penuh hormat serta takzim menyembahkan ucapan selamat menyambut Hari Keputeraan yang ke-73 tahun ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 12 Zulkaedah 1440H bersamaan 15 Julai 2019M, Semoga Allah Subahanahu Wataala melanjutkan usia Baginda, sentiasa sihat wal-afiat, kekal qarar memerintah negara dengan adil lagi bijaksana.

Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala jua dan setinggi-tinggi menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam diatas "Dato Seri Pahlawan" pada 12 Zulkaedah 1440H bersamaan 15 Julai 2019M.

Saya berserta keluarga, ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga Tentera Laut Diraja Brunei diatas sokongan dan kerjasama yang diberikan disepanjang pemerintahan saya selaku Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei dan tidak dilupakan juga kepada Warga Awam Tentera Laut Diraja Brunei yang telah menabur bakti serta usaha bagi sama-sama memajukan Tentera Laut Diraja Brunei yang sehingga kini telah setaraf dengan Tentera Laut serantau.

Kearah itu, dengan rasa rendah diri, ingin mengingatkan kepada diri saya sendiri dan kepada semua warga Tentera dan Awam Tentera Laut Diraja Brunei, untuk sama-sama berganding bahu membina dan meningkatkan lagi usaha dalam pembangunan Tentera Laut Diraja Brunei dikeseluruhan aspek demi mencapai sebuah organisasi yang hebat dan mampan. Kehebatan yang dimaksudkan adalah selari dengan titah KDYMM sempena Rombakan Keahlian Majlis mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Perlantikan-perlantikan baru pada 15 Jamadil Akhir 1431H bersamaan 29 Mei 2010M:

"Kehebatan disini turut merangkumi sikap bersih, berkebolehan dan berwawasan, termasuk juga berbasah dan berkering, sehingga diri sendiri tidak lagi penting, berbanding pengorbanan untuk Agama, Raja, Bangsa dan Negara."

Allah Subhanahu Wataala juga berfirman didalam Surah Ar Ra'ad Ayat 11 yang bermaksud:

 

"Sesungguhnya Allah Tidak Mengubah Apa Yang Ada Pada Sesuatu Kaum Sehingga Mereka Mengubah Apa Yang Ada Pada Diri Mereka Sendiri"

Marilah kita sama-sama merenungkan ayat diatas, yang mana perubahan terhadap sesuatu itu tidak akan tercapai selagi ianya tidak dimulai oleh diri kita sendiri diiringi dengan doa serta amalan yang soleh.

Akhirnya, sekali lagi saya serta ahli keluarga dengan tulus ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah memberikan sokongan dan kerjasama yang diberikan kepada saya dan keluarga.

Sekian, Wabillahi Taufiq Wal-Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.





UCAPAN PEMERINTAH TLDB SEMPENA SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI TAHUN 1440H BERSAMAAN 2019M


LAKSAMANA PERTAMA HAJI OTHMAN BIN HAJI SUHAILI @ SUHAILY

PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI



Alhamdulillahi Rabbil Alamin Wassalatu Wassalamu ala Saidina Muhammad Wa ala Aalihi Wasohbihi Ajamain.

Alhamdulillah setinggi kesyukuran kita rafa'kan kepada Allah SWT kerana memberikan peluang dan kesempatan untuk sama-sama kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri atau hari kemenangan bagi umat Islam yang disambut dengan penuh perasaan keimanan, ketakwaan dan kesyukuran.

Setelah sebulan bermujahadah menahan kemahuan dan keinginan, tibanya 1 Syawal kita akan meraikan hari kemenangan menentang hawa nafsu yang telah disifatkan oleh junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W sebagai jihad terbesar bagi umatnya. Mudah-mudahan Allah menerima ibadah kita dan memanjangkan usia kita ke Ramadhan akan datang.

Kepada warga Tentera Laut Diraja Brunei yang akan kembali ke kampung halaman masing-masing sempena perayaan ini, saya ingin menasihatkan agar sentiasa berhati-hati di jalan raya, rancang perjalanan dengan baik dan periksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Biarlah kepulangan masing-masing disambut dengan air mata kegembiraan oleh saudara mara bukannya tangisan kedukaan.

Sambutlah hari raya pada tahun ini dengan penuh kesederhanaan dan kemeriahan bersama ibu bapa dan keluarga tersayang serta saudara mara agar dapat mengeratkan lagi silaturahim serta merapatkan tali persaudaraan

Jesteru saya menyeru kepada semua untuk memperkasakan hubungan persaudaraan dengan ikatan kasih sayang kerana Allah SWT sebab ia adalah asas kekuatan dan kejayaan di dalam sebuah organisasi serta menutup segala ruang perpecahan.

Sesuai dengan Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 10:

"Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara…"

 

Dan Sabda Rasulullah SAW;

"Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri."

Didalam kita sama-sama meraikan Hari Raya Aidil Fitri, saya menyeru kepada semua untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan jujur lagi amanah kerana saya percaya, kejujuran dan sikap amanah telahpun sebati didalam diri masing-masing setelah menjalani latihan ketaqwaan selama sebulan disepanjang bulan Ramadhan.

Saya juga ingin mengingatkan kepada diri saya sendiri serta kepada semua warga Tentera Laut Diraja Brunei untuk sentiasa mengingati dan mentaati suruhan Allah SWT walaupun dimana kita berada, sejajar dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Raya 'Idil Fitri Bagi Tahun 1439H / 2018M:

"Ia bukan semata-mata untuk bersukaria biasa, tetapi turut dituntut ialah untuk menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak. Inilah inti pati kita merayakan Hari Raya Fitrah itu"

 

Saya serta keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir & Batin dan dikesempatan ini saya serta ahli keluarga dengan tulus ikhlas menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf di atas segala kesalahan dan kekhilafan sepanjang tahun yang telah lalu kepada seluruh warga Tentera Laut Diraja Brunei.

 

Wabillahi Taufiq Wal-Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


UCAPAN PEMERINTAH TLDB SEMPENA SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI TAHUN 1439H BERSAMAAN 2018M
 
 
 
 
LAKSAMANA PERTAMA PENGIRAN DATO SERI PAHLAWAN NORAZMI BIN PENGIRAN HAJI MUHAMMAD
PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI
 

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar, dengan rasa rendah diri dan penuh kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah S.W.T, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W, Alhamdulillah dengan izin dan limpah rahmatNya jua kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri, hari kemenangan setelah menunaikan perintah Allah S.W.T setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan.
 
 
Kita harus bersyukur kerana dapat menyambut detik kemenangan ini dalam suasana aman damai dilimpahi dengan kemakmuran. Jika dilihat di luar sana masih banyak saudara muslimin muslimah kita yang kurang bernasib baik kerana ketidakstabilan negara. Keamanan dan kemakmukran yang kita kecapi ini adalah berkat doa dan usaha semua pihak, termasuklah pengorbanan seluruh warga dan keluarga ABDB khususnya TLDB yang bertugas tidak mengira waktu dan tempat walaupun berjauhan daripada keluarga dan keselesaan kehidupan harian.
 
 
Di dalam keghairahan kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri ini, janganlah pula kita lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik. Sebagai tanda syukur, marilah kita hulurkan bantuan atau sumbangan kepada anak-anak yatim, yang kurang upaya dan yang memerlukan, kerana mereka juga adalah merupakan tanggungjawab kita. Di Hari Raya Aidil Fitri ini, rebutlah kesempatan untuk mengiratkan dan mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim sesama keluarga dan persahabatan yang terjalin, bertemu dengan sanak saudara serta sahabat handai dan bermaaf-maafan secara ikhlas.
 
 
Peramba saya juga ingin mengingatkan kepada semua bagi sama-sama untuk kita saling mengingati dan tidak leka dalam sama-sama menjaga keselamatan dan kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat kerana ianya adalah tanggungjawab bersama. Bagi yang tinggal di dalam perkhemahan mahupun di luar perkhemahan supaya untuk sentiasa menjaga keselamatan kediaman rumah masing-masing. Elakkan daripada terlibat dengan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang. Sambutlah hari kemenangan ini dengan kesederhanaan dan elakkan sebarang pembaziran.
 
 
Akhir kata, peramba saya beserta keluarga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Mohon Maaf Zahir dan Batin, kepada seluruh warga dan mantan TLDB semoga hari kemenangan ini dapat kita raikan dengan penuh makna dan sentiasa di dalam keredhaan Allah SWT jua.
 
Ramadhan Bakal Beransur Pergi,
Syawal Menjelma Di Aidil Fitri,
Seikhlas Hati Menyusun Jari,
Memohon Dimaafkan Kekhilafan Diri
 
Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin, Wassalam.
 
 
UCAPAN PEMERINTAH TLDB BERSEMPENA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI KE-53
 
 
 
 
LAKSAMANA PERTAMA PENGIRAN DATO SERI PAHLAWAN NORAZMI BIN PENGIRAN HAJI MUHAMMAD
PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI
 
 

Alhamdulillah, dipanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah rahmatnya jua kita semua dapat meraikan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Brunei yang ke-53 tahun pada 14 Jun 2018 yang jatuh pada bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan.

Dalam menjangkau usia ke 53 tahun ini Tentera Laut Diraja Brunei telah berkembang dengan lebih maju dan menunjukkan kematangan yang sedia berdaya saing dengan angkatan tentera laut serantau melalui penglibatan Tentera Laut Diraja Brunei dalam pelbagai eksesais dan deploimen yang telah dilaksanakan. Perkembangan bukan hanya diukur dari peralatan canggih tetapi juga dari aspek pembangunan keupayaan warga tentera laut agar lebih berfikiran dinamik dan matang, berilmu pengetahuan, profesionalisme dan mempunyai ketahanan jati diri serta disiplin yang tinggi.

Ini adalah sejajar dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB yang ke 55 tahun:

‘Manakala kekuatan sesebuah negara itu bukan sahaja memiliki peralatan canggih, tetapi juga dapat dinilai sekira negara tersebut memiliki tentera yang berkualiti dari segi fizikal dan mental lebih-lebih lagi jika berkemahiran menggunakan senjata-senjata moden.’

Dengan adanya kepakaran-kepakaran ini, warga tentera akan sentiasa menanamkan sikap berwaspada dan berpandangan jauh terhadap masa depan pertahanan dan keselamatan negara. Namun begitu, kita jangan lupa tanggungjawab kita kepada Allah SWT dan sentiasa meningkatkan ketaqwaan, keimanan, kesabaran dan menaburkan bakti demi raja dan negara.

Dalam usia 53 tahun ini, TLDB telah banyak memberikan komitmen dan pengorbanan yang telah ditaburkan sama ada dari segi tenaga dan masa, antaranya pengorbanan berjauhan daripada keluarga yang dicintai. Namun, perlulah diingat bahawa ianya merupakan suatu pengorbanan yang bermakna dan menjadi sebagai pemangkin mutu kerjaya yang lebih maju. Namun demikian, keseimbangan terhadap kerja dan keluarga hendaklah dijaga dan dimanfaatkan sepenuhnya. Dengan perancangan sambutan tahun ini ditahap yang minima dan sederhana, kita hendaklah sentiasa melangkah maju terus ke hadapan.


Di kesempatan ini, peramba saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Brunei yang ke 53 tahun kepada semua warga Tentera Laut Diraja Brunei, semoga sentiasa berada di bawah perlindungan dan petunjuk Allah S.W.T jua. Amin Ya Rabbalalamin.
 
UCAPAN PEMERINTAH TLDB SEMPENA BULAN RAMADHAN 1439M/2018H
 
 
 
LAKSAMANA PERTAMA PENGIRAN DATO SERI PAHLAWAN NORAZMI BIN PENGIRAN HAJI MUHAMMAD
PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI
 
 
 
Marhaban Ya Ramadhan, segala puji-pujian dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah S.W.T, selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W kerana dengan izin dan limpah rahmatNya jua kita diberikan peluang untuk bertemu kembali dengan bulan Ramadhan, bulan yang dipenuhi dengan rahmat dan ganjaran yang berlimpat ganda.
 
Selaku warga ABDB, kita amat beruntung kerana selain menjalankan tugas seharian, kita juga berkesempatan untuk memanfaatkan nikmat di bulan Ramadhan dengan mengikuti acara-acara keagamaan yang kemas dirancang di surau-surau ABDB ataupun balai ibadat yang berdekatan. Ini adalah bertujuan untuk memberikan peluang dan kemudahan kepada warga ABDB untuk sama-sama melipat gandakan amalan dan meraih keampunan dan keredhaan dari Allah S.W.T jua.
 
Dari itu, Peramba saya amat mengalu-alukan warga Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) khususnya beserta keluarga untuk sama-sama mengimarahkan surau-surau perkhemahan yang ada. Peramba saya juga mengetahui perkara sama juga bakal dilaksanakan seperti lazimnya di kapal-kapal yang terlibat dengan operasi.
 
Tidak dinafikan, bertugas sebagai seorang anggota tentera akan sentiasa melalui pelbagai cabaran sama ada secara mental ataupun fizikal. Malahan, akan sentiasa berjauhan dari keluarga kerana mengharungi ombak dan badai demi menjalankan tugasan yang diamanahkan. Walaupun demikian, Peramba saya ingin mengingatkan kepada semua dan tidak terkecuali diri Peramba saya sendiri agar pelaksanaan amal ibadah di bulan ini tidak diambil ringan. Janganlah cabaran di lapangan tugasan atau operasi yang dilaksanakan dijadikan sebagai alasan, selagi ianya tidak mendatangkan kemudaratkan.
 
Perlu juga diingat takrif ibadah bukanlah hanya terhad kepada Rukun Islam yang lima antaranya sembahyang lima waktu dan puasa di bulan Ramadhan. Bahkan pada hakikatnya, tugas dan tanggungjawab harian yang ditanai juga merupakan satu ibadah, yang sudah pasti dosa dan pahala akan ditimbang tara. Selaku umat Islam kita harus lebih peka akan kepentingan sifat amanah, ikhlas dan jujur dalam menjalankan tugas seharian bagi merebut kejayaan sebenar iaitu keredhaan dan keberkatan dari Allah S.W.T.
 
Akhir kata dari Peramba saya serta keluarga, ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh warga TLDB. Laksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, amanah dan dedikasi. Semoga ibadah kali ini akan membawa peningkatan yang lebih baik serta mendapat keampunan dan diberikan keberkatan kepada kita semua. Amin.
 
 
 
 
 
 
LAKSAMANA PERTAMA PENGIRAN DATO SERI PAHLAWAN NORAZMI BIN PENGIRAN HAJI MUHAMMAD
PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI
 
 
Dengan rasa penuh bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala, Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita nabi Muhammad SAW, Alhamdulillah dengan izin dan limpah rahmatnya jua sedikit masa sahaja lagi kita akan menyambut hari lebaran Aidil Fitri, hari kemenangan setelah menunaikan perintah Allah Subhanahu Wataala, melawan musuh besar iaitu hawa nafsu.

Kita harus bersyukur kerana dapat menyambut detik kemenangan ini dalam suasana aman damai dilimpahi kemakmuran. Jika dilihat di luar sana masih banyak saudara muslimin muslimah kita yang kurang bernasib baik kerana ketidakstabilan. Keamanan dan kemakmukran yang kita lalui ini adalah berkat doa dan usaha semua pihak, termasuklah pengorbanan seluruh warga dan keluarga ABDB khususnya TLDB yang bertugas tidak mengira waktu dan tempat dikejauhan keluarga dan keselesaan kehidupan harian.

Di dalam keghairahan kita menyambut hari lebaran ini, janganlah pula kita lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik. Sebagai tanda ehsan dan bersyukur kita hulurkanlah bantuan atau sumbangan kepada anak-anak yatim, yang kurang upaya dan yang memerlukan, kerana mereka juga adalah merupakan tanggungjawab kita. Ambillah kesempatan lebaran ini mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan persahabatan yang terjalin, bertemu dengan kaum keluarga serta sahabat handai dan bermaaf-maafan melupakanlah perselisihan yang ada.

Peramba saya juga ingin mengingatkan kepada semua bagi sama-sama untuk kita saling mengingati dan tidak leka dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat. Bagi yang tinggal di dalam perkhemahan supaya sentiasa menjaga keselamatan kediaman rumah masing-masing dan tidak meninggalkan barang yang berharga. Elakkan daripada terlibat dengan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang. Sambutlah Hari Raya pada tahun ini dengan kesederhanaan dan elakkan sebarang pembaziran.

Di akhir kata, Peramba saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Aidil Fitri, Mohon Maaf Zahir dan Batin, kepada seluruh warga dan mantan TLDB beserta keluarga semoga hari kemenangan ini dapat kita raikan dengan penuh makna dan sentiasa di dalam keredhaan Allah SWT jua.

Kian Berlabuh Tirai Ramadhan,
Lambaian Syawal Kian dinanti
Setulus Hati dipohon Kemaafan
Semoga Kesalahan Turut Dimaafi
Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin, Wassalam.
 

UCAPAN PEMERINTAH TLDB BERSEMPENA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI KE-52
 
 
 
 
LAKSAMANA PERTAMA PENGIRAN DATO SERI PAHLAWAN NORAZMI BIN PENGIRAN HAJI MUHAMMAD
PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI
 
 

Alhamdulillah dengan berasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia Nya jua kita semua dapat meraikan Sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Brunei yang ke-52 pada 14 Jun 2017 yang jatuh pada bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Sambutan pada tahun ini adalah ditahap yang minima namun kita semakin maju melangkah terus kehadapan.

Dalam menjangkau usia ke 52 tahun ini Tentera Laut Diraja Brunei telah menunjukkan peningkatan daya saing, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan angkatan tentera laut negara luar setelah banyak melibatkan diri dengan pelbagai eksesais dan deploimen yang telah dilaksanakan. Apa yang dihasratkan ialah, pembangunan keupayaan tentera dari segi ilmu pengetahuan, profesionalisme dan ketahanan jati diri dan disiplin yang tinggi sebagai warga Tentera Laut Diraja Brunei.

Ini adalah sejajar dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada semasa Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB yang 54 Tahun ‘Seluruh warga tentera hendaklah memperkukuhkan semangat cintakan institusi, sambil menjaga imej dan nama baik ABDB.’ Dengan adanya elemen-elemen ini, warga tentera akan sentiasa menanamkan sikap waspada dan berpandangan jauh terhadap masa depan pertahanan dan keselamatan negara. Namun begitu, kita jangan lupa tanggungjawab kita kepada Allah SWT supaya kita akan sentiasa memupuk semangat yang kuat, sentiasa bersabar dan berbakti kepada agama,bangsa dan raja.

Dalam usia 52 tahun TLDB ini, telah banyak komitmen yang dilaksanakan yang mana memerlukan pengorbanan tenaga dan masa anggota bersama keluarga yang dicintai, namun perlulah diingat bahawa ianya merupakan suatu pengorbanan yang berbaloi dan dijadikan kenangan. Peramba saya ingin menyarankan agar semua warga TLDB sentiasa bergerak maju dalam kerjaya ini dan meningkatkan profesionalisme kerana kita semua adalah yang terbaik dan kita juga adalah Wira Samudera yang akan menjadi ingatan kepada keluarga, saudara dan sahabat kita.

Di kesempatan ini Peramba saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Brunei kepada semua warga Tentera Laut Diraja Brunei yang telah berkhidmat dan akan terus maju pada masa akan datang dan sentiasa berada di bawah naungan dan petunjuk Allah SWT jua, Amin Ya Rabbalalamin.
 
UCAPAN PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI SEMPENA SAMBUTAN BULAN RAMADHAN 1438M/2017H
 
 
 
 
LAKSAMANA PERTAMA PENGIRAN DATO SERI PAHLAWAN NORAZMI BIN PENGIRAN HAJI MUHAMMAD
PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI
 
 

Marhaban Ya Ramadhan, Segala puji Dan Syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT, selawat serta salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, dengan izin dan limpah rahmat Allah SWT jua kita akan bertemu lagi Ramadhan, bulan penuh rahmat dan keberkatan.

Alhamdulillah, di bulan keampunan dan penuh keberkatan ini terlalu banyak peluang yang boleh kita manfaatkan dalam meraih keampunan dan keredaan Allah SWT. Tambahan selaku warga ABDB kita amat beruntung, acara keagamaan turut dirancang di surau-surau atau balai ibadat yang ada, memberi peluang serta kemudahan kepada para anggota yang bertugas mahupun yang berada di dalam perkhemahan bagi sama-sama merebut peluang yang ada disamping menjalankan tugas harian. Di kesempatan ini, Peramba saya amat mengalu-alukan warga Tentera Laut Diraja Brunei beserta keluarga untuk sama-sama mengimarahkan surau perkhemahan yang ada. Peramba saya juga mengetahui perkara sama juga bakal dilaksanakan seperti lazimnya di kapal-kapal yang melaksanakan operasi.

Peranan selaku seorang anggota Tentera Laut banyak cabaran fizikal dan mental yang dihadapi, berjauhan dari keluarga, ombak badai dan keletihan sudah menjadi asam garam harian. Apapun, Peramba saya mengingatkan semua dan diri sendiri agar tidak mencuaikan perlaksanaan amal ibadah di bulan ini, janganlan cabaran di lapangan tugasan atau operasi dijadikan alasan selagi kita mampu dan tidak membawa kemudaratan. Perlu juga diingat takrif ibadat bukanlah hanya terhad pada rukun seperti solat dan berpuasa sahaja, bahkan pada hakikatnya tugas dan tanggungjawab harian yang ditanai juga merupakan satu ibadah, yang sudah pasti dosa dan pahalanya ditimbang tara. Selaku umat Islam kita harus lebih peka akan kepentingan sifat amanah, ikhlas dan jujur dalam tugas seharian bagi merebut kejayaan sebenar iaitu keredaan dan keberkataan dari Allah SWT bukan sekadar pangkat atau wang ringgit menjadi buruan.

Akhir kata Peramba saya serta keluarga, dikesempatan ini mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa, kepada seluruh warga dan mantan Tentera Laut Diraja Brunei, berhati-hatilah ketika bertugas, laksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Semoga ibadah kali ini akan membawa peningkatan yang lebih baik serta keampunan dan keberkatan kepada kita semua, Amin.
 
 
UCAPAN PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI SEMPENA KETIBAAN BULAN SYAWAL
 
 
 

Alhamdulillah dengan penuh rasa bersyukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan izin serta limpah rahmat nya jua kita akan dipertemukan lagi bulan Syawal bulan kemenangan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, setelah hampir sebulan beribadah di Ramadhan penuh rahmat dan keberkatan.

Kita sedar melaksanakan ibadah puasa disamping tugas serta persekitaran yang mencabar lazim dialami oleh anggota yang berkhidmat di Angkatan Laut bukanlah mudah tambah lagi dikejauhan keluarga dan sahabat handai. Namun Peramba saya amat berbangga disebalik cabaran tersebut warga Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) tetap menunjukkan komitmen melaksanakan amanah yang ditanai sebaik mungkin. Ini membuatkan kemenangan kita melawan hawa nafsu di bulan Al Mubarak ini lebih bermakna lagi kepada kita semua, syabas.

Mengambil ikhtibar serta sukut baik di bulan Al-Mubarak ini, Peramba saya berseru agar benteng pertahanan mental, fizikal serta fizikal yang kita telah bina di bulan ini akan terus dipupuk dan dipertingkat. Sebuah institusi atau organisasi yang berpaksikan keimanan tidak akan wujud di dalamnya sebarang gejala disiplin atau sosial sekaligus pra syarat memperolehi limpah rahmat dan nikmat Allah SWT jua.

 Di keghairahan kita menyambut bulan lebaran ini nanti, Peramba saya juga ingin mengingatkan kepada semua warga di TLDB agar akan sentiasa menjaga keselamatan dan kesejahteraan bersama, tidak lalai serta leka dengan kemeriahan yang ada. Baik dari segi aspek sekuriti dalam perkhemahan, barek kelamin mahupun ketika memandu dijalan raya, janganlah pula keriangan berganti dengan kedukaan. Dari aspek perbelanjaan pula janganlah kita berlebih-lebihan di dalam menyambut lebaran ini sehingga membebankan diri sendiri dikemudian hari dengan hutang piutang. Peramba saya juga mengingatkan kepada semua anggota TLDB untuk tidak melakukan perkara-perkara yang menjadi tegahan undang-undang negara yang sering terjadi dimusim-musim perayaan. Peramba saya tidak akan bertoleransi terhadap perkara sebegini, keolahan yang tidak sesuai dengan organisasi ini.

Di akhir kata, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Wallilahilham dengan takbir dan tahmid memuji dan membesarkan Allah SWT, Peramba saya beserta keluarga dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga TLDB, mantan-mantan perwira TLDB beserta keluarga tercinta, mendoakan 1 Syawal itu nanti penuh dengan keriangan dan kegembiraan, selamat dibawah inayah dan pemeliharaan Allah yang maha perkasa, Aamiin.
 
 
UCAPAN PEMANGKU PEMERINTAH TLDB BERSEMPENA MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI TAHUN 1437H BERSAMAAN 2016M
 
 

CAPTAIN HJ OTHMAN BIN HJ SUHAILI@SUHAILY
TIMBALAN PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI
 
 
 
Dengan rasa penuh bersyukur kehadrat Allah Subhanahu selawat dan salam keatas junjungan besar kita nabi Muhammad SAW, Alhamdulillah dengan izin dan limpah rahmatnya jua Insya Allah esok atau lusa kita akan menyambut hari lebaran Aidil Fitri, hari kemenangan umat Islam setelah menunaikan perintah Allah Subhanahu Wataala iaitu berpuasa di Bulan Ramadhan.
 
Kita seharusnya bersyukur kerana dapat menyambut detik kemenangan ini dalam suasana aman damai dilimpahi kemakmuran. Jika dilihat di luar sana masih banyak saudara muslimin muslimah kita yang kurang bernasib baik kerana ketidakstabilan negara-negara mereka. Keamanan dan kemakmuran yang kita lalui ini adalah berkat doa dan usaha semua pihak, termasuklah pengorbanan seluruh warga dan keluarga ABDB khususnya TLDB yang bertugas tidak mengira waktu dan tempat di kejauhan keluarga dan keselesaan kehidupan harian.
 
Di dalam keghairahan kita menyambut hari lebaran ini, janganlah pula kita lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik. Sebagai tanda ehsan dan bersyukur kita hulurkanlah bantuan atau sumbangan kepada anak-anak yatim, yang kurang upaya dan yang memerlukan, kerana mereka juga adalah merupakan tanggungjawab kita. Bersesuaian dengan peluang yang ada ambillah kesempatan lebaran ini mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan dan persahabatan yang terjalin, ziarah menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai, bermaaf-maafan, berhijrah melupakanlah perselisihan yang ada.
 
Di dalam kita sama-sama menyambut Hari Raya ini nanti, saya mengingatkan kepada semua untuk kita sama-sama beringat dan tidak leka menjaga keselamatan samudera raya dan kesejahteraan diri keluarga, masyarakat dan harta benda. Elakkan dari terlibat dengan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang atau ajaran Islam. Sambutlah Hari Raya dengan kesederhanaan dan elakkan sebarang pembaziran.
 
Di akhir kata, Peramba saya berserta keluarga sekali lagi ingin mengucapkan selamat menyambut hari Aidil Fitri, maaf zahir dan batin, kepada seluruh warga dan mantan TLDB beserta keluarga dan mendoakan semoga hari kemenangan ini dapat kita raikan dengan penuh makna dan sentiasa di dalam keredhaan Allah SWT jua.
 
Kian Berlabuh Tirai Ramadhan,
Lambaian Syawal Kian dinanti
Serendah Hati memohon Kemaafan
Kesalahan Turut Dimaafi
Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin, Wassalam.

 
UCAPAN PEMERINTAH TLDB BERSEMPENA KENAIKAN PANGKAT BAGI LAIN – LAIN PERINGKAT TENTERA LAUT DIRAJA BRUNE (TLDB)

 

 
 
LAKSAMANA PERTAMA PENGIRAN DATO SERI PAHLAWAN NORAZMI BIN PENGIRAN HAJI MUHAMMAD
PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI
 
 

Alhamdulillah dengan limpah dan izin Allah SWT, seramai 163 anggota TLDB telah dinaikkan pangkat berkuatkuasa pada hari Jumaat, 01 Jun 2016. Ini bukan saja merupakan satu pencapaian individu tapi anugerah untuk Tentera Laut secara amnya. Sesuai dengan komitmen dan pencapaian yang ditunjukkan selama ini, kenaikan pangkat ini adalah sesuai dengan selayaknya diterima.

Perambasaya mewakili seluruh warga TLDB dengan rasa tulus ikhlas sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada PTB Kanan dan PTB Rendah yang telah dinaikkan pada hari ini Isnin, 06 Jun 2016 bersamaan dengan 30 Syaban 1437H bertempat di Mes Pegawai Waran, Bintara Kanan dan Bintara TLDB, Perkhemahan Muara. Peramba saya yakin kenaikan pangkat ini akan menjadi pemangkin prestasi dan mutu kerja yang lebih baik lagi kepada anggota berkenaan dapat menyuntik semangat untuk terus menabur bakti dan tanggungjawab. Terima kasih dan setinggi – tinggi tahniah. Bravo Zulu!
 
 
 
 

 
 
CAPTAIN HJ OTHMAN BIN HJ SUHAILI@SUHAILY
TIMBALAN PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI
 
 
 
Bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wataala dengan izin dan limpah rahmatnya jua kita semua berkesempatan untuk menyambut Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang ke 55 tahun pada 31 Mei 2016 bertempat di Akademi Pertahanan, Tanah Jambu.

Peramba/saya dengan rasa tulus ikhlas sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada warga-warga TLDB yang terlibat dengan kawad Sempena Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke 55 ini, kerana telah mempersembahkan mutu kawad yang baik. Segala penat lelah selama lebih kurang dua minggu persiapan berbaloi dengan satu persembahan yang membanggakan yang turut disaksikan para jemputan yang hadir. Peramba/saya berharap dan percaya mutu persembahan yang membanggakan ini akan dapat dipertahankan malah akan bertambah baik di masa akan datang dan menjadi sukat-sukat untuk kita terus mempertingkat mutu persembahan kawad TLDB.

Tahniah dan terima kasih juga peramba/saya ucapkan kepada semua anggota TLDB yang turut terlibat dalam mengendalikan acara Majlis Santap dan Junjung Ziarah, Pameran Statik dan juga Bazaar dan Funfair yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan semuanya. Peramba/saya amat berbangga di atas kesungguhan dan komitmen kepada semua anggota yang terlibat. Semoga Allah jua membalas segala usaha yang disumbangkan. Di kesempatan ini, peramba/saya memberikan sehari cuti tanpa catit di bawah pentadbiran semua ketua-ketua jabatan kepada anggota-anggota yang terlibat dalam Sambutan ini dalam atas usaha gigih yang telah ditunjukkan.

UCAPAN PEMERINTAH TLDB BERSEMPENA KENAIKAN PANGKAT BAGI PEGAWAI–PEGAWAI TLDB
 
 
 
 
 
LAKSAMANA PERTAMA PENGIRAN DATO SERI PAHLAWAN NORAZMI BIN PENGIRAN HAJI MUHAMMAD
PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI
 
 
 
Peramba/saya dengan rasa tulus ikhlas sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pegawai-pegawai yang telah dinaikkan pangkat pada 27 Mei 2016 bersamaan dengan 20 Syaban 1437H bertempat di Mes Pegawai Berakas Garison. Peramba/saya berharap agar dengan kenaikan pangkat ini dapat meningkatkan prestasi dan ianya akan dapat menyuntik semangat untuk berbakti lebih cemerlang lagi.
 

Di akhir kata, peramba/saya mengucapkan sekali lagi tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan atas pencapaian dan berdoa semoga sentiasa mendapat hidayah dan petunjuk dalam perlindungan daripada Allah Subhana Wataala jua. Aamiin Ya Rabbal Alamin.

 

UCAPAN PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI SEMPENA ULANG TAHUN YANG KE 51 TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI

 

 

LAKSAMANA PERTAMA PENGIRAN DATO SERI PAHLAWAN NORAZMI BIN PENGIRAN HAJI MUHAMMAD
PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI
 
 

 

Dengan rasa penuh bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Selawat dan salam keatas junjungan besar kita nabi Muhammada SAW, Alhamdulillah dengan izin dan limpah rahmatnya jua pada hari ini Selasa 14 Jun 2015 bersamaan 9 Ramadhan 1437 Hijrah genaplah 51 tahun melangkauwi setengah abad penubuhan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) yang penuh ristaan cabaran dan pencapaian.

Tidak dinafikan TLDB pada hari ini telah jauh melangkah dan berkembang dari pelbagai sudut dan aspek sehingga ianya mampu bersaing dengan angkatan serantau mahupun antarabangsa. Perkembangan ini bukan hanya setakat diukur melalui pemilikan aset serta sistem yang cangih. Apa yang lebih penting ialah man behind the gun iaitu warga TLDB sendiri, tahap profesionalisma para anggota dan organisasi ini sebagai satu unit juga turut membanggakan. Budaya positif dan progresif warga ini membuatkan TLDB sentiasa relevan dan terus menumpahkan bakti.

Hari ini bagi terus meningkatkan kapasiti dan kemampuan organisasi, para anggota kita diasuh diserata pelosok dunia di dalam pelbagai jurusan kepakaran dibeberapa institusi ketenteraan yang berprestij. Disudut lain TLDB terus berkembang melaksanakan misi operasi diperingkat serantau dan antarabangsa khususnya diplomasi pertahanan bagi langkah berbaik-baik dimata antarabangsa, penyertaan mahupun pengendalian latihan berbilang bangsa yang berprestij, bantuan kemanusiaan dan banyak lagi disamping tugas dan peranan menjaga kedaulatan negara. Kesemua ini banyak meningkatkan profil dan kredibiliti Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan TLDB khususnya di arena antarabangsa. Kesemua ini tidak akan terlaksana tanpa kesungguhan dan pengorbanan semua pihak lebih-lebih lagi keluarga yang kita sayangi yang sentiasa berada dibelakang kita. Allah jualah sebaik-baik pembalas kesemua pengorbanan tersebut.

Namun janganlah kita pernah merasa selesa dan leka dengan pencapaian yang ada, tiada gading yang tidak retak, jauh dari medan operasi 'musuh-musuh' negara di dalam bentuk gejala-gejala sosial tidak lepas menghambat warga kita yang mana patut kita tangani bersama. Tambahan lagi petualang negara tidak akan pernah duduk diam dan akan sentiasa mengintai peluang menggangu gugat keamanan negara berkat ini.

Menyentuh pencapaian material yang ada, perlu juga kita imbangi dengan aspek mental dan rohani yang sihat. Janganlah kita leka dan alpa hak terhadap Allah Subhanahu Wataala. Ugama menjadi tunjang dan paksi yang akan mengimbangi gerak dan tindak laku kita. Pada masa yang sama keseimbangan terhadap kerja dan keluarga juga perlu dijaga. Keluarga kita merupakan sumber inspirasi dan suatu yang tiada nilai bandingnya. Peramba saya juga mengingatkan semua agar mengambil langkah bijaksana di dalam mengunakan belanjawan yang ada sentiasa berjimat cermat dan mengelakkan sebarang pembaziran. Pada masa yang sama terus mencari inisiatif serta mempertingkatkan tahap keberkesanan dan produktiviti kerja.

Mengakhiri kata Peramba saya serta keluarga dengan setulus hati mendoakan seluruh warga TLDB, mantan dan keluarga semoga terus maju jaya di dalam apajua bidang, sentiasa di dalam perlindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wataala jua Aamiin. Teruslah menabur bakti siap bekorban, berguna kepada raja, ugama nusa dan bangsa. Sama-samalah kita memperbaharui ikrar sumpah setia ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Wassalam.

 

 UCAPAN PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI SEMPENA SAMBUTAN JUBLI EMAS TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI
 

​​

LAKSAMANA PERTAMA PENGIRAN DATO SERI PAHLAWAN NORAZMI BIN PENGIRAN HAJI MUHAMMAD
PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI


Bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wataala dengan izin dan limpah rahmatnya jua pada 14 Jun 2015 genaplah 50 tahun penubuhan unit Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB). Bermula dengan Generasi Bot Seksyen yang satu ketika dulu pantas dan berani, diikuti generasi Pahlawan cekap dan sedia, Generasi Waspada berbisa dan lasak, hari ini, generasi Darussalam merupakan manifestasi kematangan dan kemajuan TLDB. Kita terus berkembang dan telah jauh melangkah, lima dekad yang penuh dengan detik detik bersejarah dan kenangan yang dapat kita bangga kan dan ambil ikhtibar.

Alhamdulilah, Bersukut baik sambutan Jubli Emas penubuhan TLDB beberapa majlis dan acara telah diungkayahkan bagi menghargai seluruh perwira samudera TLDB berserta keluarga, baik yang masih berkhidmat mahupun mantan yang telah sama-sama melakarkan kegemilangan dan menabur bakti mendaulatkan tanah air kita. Peramba saya mengucapkan setinggi terima kasih dan penghargaan kepada seluruh warga TLDB kerana dengan penuh komited telah menjayakan semua majlis serta acara tersebut dengan sempurnanya dan Peramba saya amat berpuas hati dan yakin sambutan yang gemilang ini akan sentiasa mejadi ristaan dan kenangan manis di hari kemudian.

Kejayaan ini sebenarnya bukan hanya setakat mencerminkan sokongan dan kesunguhan semua pihak terhadap amanah yang diberi, lebih dari itu Peramba saya terharu betapa solidarity kekeluargaan yang begitu kuat terjalin semenjak lima dekad penubuhan TLDB jelas kelihatan semasa sambuatan ini diadakan. Ini terbukti melalui sokongan yang tidak penuh kendur oleh mantan serta mentor perwira samudera kita melalui kehadiran serta komitmen mereka terhadap TLDB walaupun hakikatnya mereka tidak lagi menyarung seragam kebangaan putih.

Inilah intipati yang diwariskan kepada kita hari ini oleh perintis serta mentor terdahulu, solidarity dan kesepaduan satu keluarga yang kukuh. Di sini terletak keunikan dan kekuatan TLDB terus menerus diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya, menjadi darah daging dan merupakan kunci kejayaan kita semenjak lima dekad.

Pada hakikatnya, kita semua adalah aset dan kekuatan sebenar TLDB. Turun naik penjaga kedaulatan maritim Brunei ini adalah tergantung kepada kita untuk terus bersatu, berilmu serta maju dan terus mewaris jati diri serta semangat keperwiraan orang brunei kepada generasi perwaris seterusnya. Sejauh mana pun kecangihan system yang kita miliki, ianya tidak akan bermakna tanpa anda semua, man behind the gun, nadi dan terus menggerak TLDB.

Teruslah menabur bakti siap berkorban, berguna kepada raja, ugama nusa dan bangsa. Peramba saya menyeru untuk kita sama-sama memperbaharui ikrar sumpah setia kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam.

Mengakhiri kata Peramba saya serta keluarga dengan hati penuh tawaduk dan pengharapan mendoakan keselamatan dan kejayaan bumi Darussalam yang berkat ini. Tidak lupa juga kita kepada ahli TLDB yang telah kembali kerahmatullah, semoga Allah SWT mencucuri rahmat keatas mereka. Kepada seluruh warga,mantan dan perwira-perwira, semoga tuan dan puan sentiasa didalam hidayah dan limpahan rahmat Allah Subhanahu Wataala jua. Syabas dan terima kasih, atas jasa dan bakti mu Wira Samudera Kebanggan bangsa.

Bravo Zulu!​

 

UCAPAN PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI SEMPENA KETIBAAN BULA​N SYAWAL

 

 

LAKSAMANA PERTAMA PENGIRAN DATO SERI PAHLAWAN NORAZMI BIN PENGIRAN HAJI MUHAMMAD
 PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI
 
 

Alhamdulillah dengan penuh rasa bersyukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan izin serta limpah rahmat nya jua kita akan dipertemukan lagi bulan Syawal bulan kemenangan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, setelah hampir sebulan beribadah di Ramadhan penuh rahmat dan keberkatan.

Kita sedar melaksanakan ibadah puasa disamping tugas serta persekitaran yang mencabar lazim dialami oleh anggota yang berkhidmat di Angkatan Laut bukanlah mudah tambah lagi dikejauhan keluarga dan sahabat handai.  Namun Peramba saya amat berbangga disebalik cabaran tersebut warga Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) tetap menunjukkan komitmen melaksanakan amanah yang ditanai sebaik mungkin.  Ini membuatkan kemenangan kita melawan hawa nafsu di bulan Al Mubarak ini lebih bermakna lagi kepada kita semua, syabas.

Mengambil ikhtibar serta sukut baik di bulan Al-Mubarak ini, Peramba saya berseru agar benteng pertahanan mental, fizikal serta fizikal yang kita telah bina di bulan ini akan terus dipupuk dan dipertingkat.    Sebuah institusi atau organisasi yang berpaksikan keimanan tidak akan wujud di dalamnya sebarang gejala disiplin atau sosial sekaligus pra syarat memperolehi limpah rahmat dan nikmat Allah SWT jua.
    
Di keghairahan kita menyambut bulan lebaran ini nanti, Peramba saya juga ingin mengingatkan kepada semua warga di TLDB agar akan sentiasa menjaga keselamatan dan kesejahteraan bersama, tidak lalai serta leka dengan kemeriahan yang ada.  Baik dari segi aspek sekuriti dalam perkhemahan, barek kelamin mahupun ketika memandu dijalan raya, janganlah pula keriangan berganti dengan kedukaan.  Dari aspek perbelanjaan pula janganlah kita berlebih-lebihan di dalam menyambut lebaran ini sehingga membebankan diri sendiri dikemudian hari dengan hutang piutang.  Peramba saya juga mengingatkan kepada semua anggota TLDB untuk tidak melakukan perkara-perkara yang menjadi tegahan undang-undang negara yang sering terjadi dimusim-musim perayaan.  Peramba saya tidak akan bertoleransi terhadap perkara sebegini, keolahan yang tidak sesuai dengan organisasi ini.

Di akhir kata, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Wallilahilham dengan takbir dan tahmid memuji dan membesarkan Allah SWT, Peramba saya beserta keluarga dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga TLDB, mantan-mantan perwira TLDB beserta keluarga tercinta, mendoakan 1 Syawal itu nanti penuh dengan keriangan dan kegembiraan, selamat dibawah inayah dan pemeliharaan Allah yang maha perkasa, Aamiin.​